Bolehland

Di Pakistan dan di Burma, rakyat turun ke jalan raya kerana tiada pilihan lain.

Keparahan dan racun telah meresap ke dalam darah negara-negara tersebut, dan keseksaan rakyat tidak dapat ditanggung lagi.

Ada yang berpendapat kami di Malaysia belum tercapai keparahan tersebut, dan mungkin ada juga kebenaran di dalam kata-kata itu.

Tetapi sanggupkah kita menunggu sampai begitu parah?

Sanggupkah kita tunggu sehingga tua seperti sami sebelum terpaksa turun ke jalan raya untuk menutut perubahan demi mempertahankan anak-anak kita yang dirompak, dirogol dan diseksa?

Apa yang boleh kita jangkakan pada tanggal 10 November?

Jika gerak-geri pihak kerajaan dipantau, jelas terlihat ketakutan, kemarahan dan paranoia.

Kenapa wujudnya sentimen-sentimen ini, saya tidak jelas langsung. Sekiranya saya dalam kerajaan, adakah saya akan takut kepada himpunan aman rakyat?

Yalah, jika saya pemerintah yang rakus, rasuah dan tidak bermoral.

Jika saya ahli sebuah kerajaan yang berintegriti, bertimbang rasa, dan benar-benar pro-rakyat, takut apa saya?

Jika hati jiwa saya bersih, tidak bersalah dan tidak berdosa, takut apa saya?

Adakah perlunya saya bimbang akan keselamatan rakyat?

Ya, jika yang berarak itu terdiri daripada satu kaum atau golongan agama dan sebagainya sahaja.

Ya, jika yang berarak berniat jahat, mengancam untuk membanjiri Malaysia dengan darah kaum tertentu atau ada kepentingan lain untuk bertindak ganas.

Mana-mana perkara ini tidak muncul langsung dalam perhimpunan 10 November.

Saya tak pernah terdengar pun wujudnya mana-mana perhimpunan yang telah menjadi ganas tanpa provokasi.

Segala himpunan yang tidak diganggu polis sentiasa berakhir dan bersurai dengan aman. Polis yang menjaga ceramah atau acara tersebut semua bosan, tetapi selamat.

Buat apa aktivis ingin mengganas? Tiada antara kita yang mampu merampas kuasa melalui keganasan. Tiada siapa yang mampu merampas apa-apa pun dengan ganas.

Yang ada kepentingan untuk melihat aktivis mengganas adalah kerajaan - supaya pembangkang dan pihak-pihak aktivis digambarkan sebagai samseng (kita sudah tahulah, siapa samseng sebenar).

Jadi sedialah, untuk ‘menyambut’ rakan-rakan cop ke himpunan kita 10 November.

Mungkin rakan-rakan ini akan menjadi majoriti penghimpun, kerana kita juga harus sedia untuk halangan jalanraya (roadblock) di seluruh KL hari itu.

Jika memakai baju kuning, jangan haraplah dapat masuk kawasan dataran selepas pukul 2.

Akhirnya, jangan hairan jika lebih dua pertiga rakyat yang berkumpul dihalang kerajaan yang takut kepada kehendak hati rakyat.

Halangan di media, halangan di ceramah, dan kini, halangan di jalan raya.

Tetapi kita sudah bertekad untuk berani.

Bertekad untuk menolak kebobrokan yang merebak dan menimpa semua lapisan masyarakat - sebelum anak-anak kita yang akan terpaksa membayar harga hitamnya.

Yang kita boleh jangkakan pada 10 November adalah kesanggupan rakyat.

Yang kita boleh jangkakan adalah keazaman yang aman tetapi teguh.

Yang kita boleh jangkakan adalah keberanian kerana cinta.